Oleh: Shafira Aziz
KULIM: Kerajaan komited dalam menggalakkan pelaburan asing dalam negara demi mengangkat ekonomi Malaysia ke tahap yang digariskan menerusi Ekonomi Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar turut menegaskan kepentingan kerjasama dan tindakan pantas antara agensi serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dalam memudah cara pelaksanaan pelaburan yang diumumkan pihak swasta.
Anwar berkata demikian ketika meluncurkan Kulim 3 di Infineon Kulim Hi-Tech pada Khamis, di mana Infineon juga melaburkan €5 bilion untuk menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.
“Kulim 3 adalah kilang fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia oleh Infineon di Malaysia yang menonjolkan kredibiliti negara sebagai hub serantau untuk teknologi canggih dan inovasi dalam ruang semikonduktor.
“Kejayaan Kulim 3 yang siap lebih awal dari perancangan adalah contoh bahawa penyelarasan dan pengurangan birokrasi adalah amat penting dan dapat meningkatkan daya saing negara,” katanya dalam kenyataan.
Infineon Technologies AG (Infineon) secara rasmi membuka fasa pertama kilang fabrikasi semikonduktor kuasa silikaon karbida (SiC) 200 milimeter di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut optimis menyatakan Kerajaan Madani akan terus menarik pelaburan berimpak tinggi kepada negara dan rakyat khususnya.