Kerajaan Peruntuk RM40 Juta Bangun Semula Rumah Mangsa Letupan Putra Heights

PETALING JAYA: Kerajaan Madani melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan projek pemulihan rumah mangsa insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights mulai 1 Mei ini.

Sebanyak RM40 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina semula kediaman terjejas.

“KPKT telah menubuhkan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bagi mengumpulkan dana membantu mangsa-mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana tersebut.

“Jumlah peruntukan daripada tabung tersebut bagi kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah-rumah mangsa dianggarkan sebanyak RM40 juta,” ujar kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

KPKT turut memberitahu, pihaknya mendapati terdapat tiga kategori kerja membaik pulih dan membina semula rumah-rumah yang terjejas iaitu, kategori pertama adalah rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak M300,000 seunit.

Buat kategori kedua pula, rumah-rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling baik pulih ditetapkan sebanyak RM150,000

Manakala kategori tiga, rumah-rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus yang mana kos siling baik pulih adalah RM30,000.

Kerajaan Negeri Selangor telah mengesahkan sebanyak 219 unit rumah terjejas akibat insiden tersebut.

Daripada jumlah itu, 81 unit mengalami kerosakan melebihi 40 peratus manakala 138 unit lain mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.

Menurutnya, projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemaju Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Sime Darby yang juga merupakan pemaju Taman Putra Harmoni akan mengambil tanggungjawab membina semula rumah-rumah terkesan di kawasan perumahan tersebut mengikut pelan rumah unit asal.

“Manakala, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru,” jelas KPKT.

Kedua-dua pemaju akan memulakan kerja di tapak kejadian pada 1 Mei, dengan fokus utama pada unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan letupan.

Keseluruhan projek dijangka selesai dalam tempoh 24 bulan.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming, berjanji akan terus memantau perkembangan projek tersebut bagi memastikan kelancaran pembinaan mengikut jadual.

“Ini bukan sekadar pembinaan fizikal tetapi juga usaha membina semula kehidupan dan harapan mereka yang terkesan bagi memastikan mangsa dapat kembali mendiami kediaman masing-masing secepat mungkin,” ujarnya.

Selain itu, sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan bagi pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Dengan ini, jumlah keseluruhan kos pemulihan kawasan Putra Heights adalah RM46 juta, merangkumi RM40 juta untuk rumah dan RM6 juta bagi infrastruktur awam.

Anda Mungkin Berminat