Konflik Asia Barat: Malaysia zahir simpati kepada rakyat Iran

Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia kepada rakyat Iranyang sedang berdepan situasi sukar susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.


Perkara itu disampaikan ketika mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi semalam.


Anwar berkata, beliau turut menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa rakyat Iran, termasuk pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, serta 165 pelajar yang dilaporkan terkorban dalam serangan di Tehran baru-baru ini.


“Malaysia menegaskan pendirian tegas menolak sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.


Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi konflik berpanjangan yang boleh menjejaskan keamanan, kestabilan serta kesejahteraan global.


Tambah Anwar, perbincangan dengan Araghchi juga menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan melalui usaha diplomasi dan mencari penyelesaian damai bagi menamatkan konflik di rantau berkenaan.


Menurutnya, isu Palestine yang berlarutan turut dibangkitkan dalam perbualan tersebut dan memerlukan perhatian berterusan daripada masyarakat antarabangsa

Anda Mungkin Berminat