Mahasiswa Keadilan Nafi Kenyataan Tular, Nyata Sokongan Kepada Anwar

PETALING JAYA: Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menafikan sekeras-kerasnya kenyataan media yang tular kononnya membawa pendirian rasmi organisasi tersebut.

Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih berkata, kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi organisasi.

“Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut beliau, tindakan mengeluarkan kenyataan tanpa nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab jelas menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.

“Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

“Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik,” tegasnya.

Aqeef berkata, MKM sentiasa berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan serta proses demokrasi yang matang.

Menurutnya, sebarang pandangan peribadi tidak boleh dipaksakan sebagai pendirian rasmi organisasi tanpa mandat serta persetujuan bersama.

“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu tertentu.

“MKM sebagai sayap mahasiswa KEADILAN akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Aqeef memaklumkan bahawa pihak sekretariat akan meneliti perkara tersebut dengan serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama MKM tanpa kebenaran.

“MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” katanya.

Anda Mungkin Berminat