Malaysia Kutuk Keras Pencerobohan Masjid Al-Aqsa Oleh Peneroka Israel

PUTRAJAYA: Malaysia menzahirkan kecaman paling tegas terhadap insiden terbaharu pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh peneroka haram Israel termasuk tindakan mengibarkan bendera Israel di dalam kawasan suci berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan provokasi yang mencabuli kesucian Masjid Al-Aqsa serta mencerminkan usaha berterusan untuk mengubah identiti sejarah dan budaya tapak suci itu.

“Sebarang usaha untuk melakukan proses Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa adalah keji dan mencemarkan kesucian masjid ini,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Menurut Wisma Putra, tindakan peneroka haram dengan sokongan rejim Israel dilihat sebagai cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta menjejaskan ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

“Tindakan terbaharu oleh peneroka haram dengan sokongan rejim Zionis Israel merupakan cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Malaysia turut menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika pencerobohan dan permusuhan terhadap rakyat Palestin berlaku secara terbuka.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah segera bagi menghentikan pelanggaran berkenaan serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya.

“Malaysia mengulangi seruannya kepada masyarakat antarabangsa dan PBB agar mengambil tindakan segera dan konkrit bagi menghentikan pelanggaran ini serta memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Malaysia pada masa sama menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta pendirian teguhnya dalam menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Anda Mungkin Berminat