Maritim Pulau Pinang Tahan Bot Nelayan, Kru Disyaki Miliki Heroin

PETALING JAYA: Sebuah vesel nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas seorang krunya disyaki memiliki dadah jenis heroin dalam satu operasi awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata penahanan dibuat sekitar jam 1 pagi di kedudukan 5 batu nautika selatan Pulau Kendi.

Menurut beliau, bot penguatkuasa yang sedang melaksanakan Op Pertiwi 2018 / Op Tiris 3.0 2024 mengesan sebuah vesel berapung di kawasan terbabit sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong, semuanya warga tempatan berusia antara 28 hingga 50 tahun. Pemeriksaan lanjut menemui bahan disyaki heroin pada salah seorang kru berusia 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kru terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan bersama dua lagi rakan serta vesel berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Muhammad Suffi menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti jenayah di laut, termasuk penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan perairan negara bebas daripada jenayah maritim yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej sektor perikanan,” ujarnya.

Maritim Malaysia giat memperkukuh rondaan di perairan Pulau Pinang melalui operasi bersepadu yang bertujuan mengekang penyeludupan, aktiviti haram, serta memastikan komuniti nelayan tempatan bebas daripada pengaruh dadah dan jenayah laut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat