Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tegas dengan pendirian tidak berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan berunsur provokatif dan menyentuh elemen 3R (bangsa, raja, agama) di media sosial.
Ia susulan insiden melibatkan stoking tertera kalimah Allah di mana ramai pengguna media sosial memilih untuk menjadi jaguh siber (keyboard warrior) dan tanpa menyedari mereka telah menyentuh isu 3R tersebut.
“MCMC dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat untuk membawa mereka ke muka pengadilan dan diingatkan agar semua pihak untuk menghentikan menulis komen yang bersifat provokatif sebegitu,” kata kenyataan yang dikeluarkan MCMC pada Jumaat.
Dalam pada itu, MCMC turut mengeluarkan statistik menyatakan bahawa terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023 manakala pada dua bulan pertama 2024 sahaja telah mencapai 27,115 kandungan yang diturunkan.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 2,004 kandungan berunsur ucapan yang berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan sejak Januari dan sebanyak 279 kandungan provokasi terhadap 3R telah diturunkan sejak 13 Mac sehingga kini,” tambah kenyataan tersebut.
MCMC turut menegaskan bahawa sebarang perkongsian bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan yang tertakluk dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh membawa kepada hukuman denda RM50,000 maksimum dan penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Baca juga: