MOF Nafi Dakwaan Permohonan Tambah Had BUDI95, Subsidi Kekal 200 Liter

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menafikan dakwaan kononnya wujud permohonan umum untuk menambah had subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95), sambil menegaskan ia tidak benar dan tidak berasas.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, MOF menjelaskan bahawa fungsi permohonan tambahan yang pernah diperkenalkan pada peringkat awal pelaksanaan BUDI95 bukan bertujuan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya hanya melibatkan kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas serta disahkan.

“Fungsi ini bukan untuk permohonan tambahan bagi kegunaan peribadi, tetapi terhad kepada kes tertentu seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada syarat ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Tambah MOF, fungsi tersebut telah disalah tafsir sebagai ruang untuk memohon peningkatan had secara bebas, menyebabkan butang permohonan itu kini telah dinyahaktifkan.

Menurut kementerian itu, kerajaan mengekalkan had kelayakan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan bagi memastikan subsidi terus disasarkan kepada majoriti rakyat serta menjamin kestabilan bekalan bahan api.

“Langkah ini diambil susulan tekanan berterusan pasaran tenaga global yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah,” jelasnya.

MOF turut memaklumkan bahawa had 200 liter sebulan mencukupi untuk kira-kira 90 peratus pengguna BUDI95. Dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh menikmati bekalan petrol sehingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung sekitar RM500 subsidi bagi setiap penerima.

Sebelum ini, laporan media menyebut terdapat pengguna yang menganggap had baharu itu tidak mencukupi, sekali gus mendorong mereka mengisi borang permohonan tambahan yang dipaparkan di laman rasmi BUDI Madani.

Kerajaan sebelum ini menyelaraskan had kelayakan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April sebagai langkah bersasar susulan konflik di Asia Barat.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat