KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen minyak.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata langkah tersebut penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang disediakan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia serta selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
“MPPN mengambil maklum penjelasan YB Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.
“Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Khair turut menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak serta meningkatkan beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna tempatan.
Katanya, langkah berkenaan juga berupaya memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.
Dalam pada itu, ujarnya MPPN menegaskan komitmennya sebagai badan penasihat kerajaan untuk terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
MPPN turut menggesa semua pihak, termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna, supaya memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
Baca juga:








