PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung laluan pemegang sijil Unified Examination Certificate (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai bermotifkan politik.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Sabtu, kebenaran penggunaan sijil UEC bagi kemasukan ke institusi tertentu sebenarnya telah dilaksanakan ketika Muhyiddin memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Katanya, pada ketika itu pemegang sijil UEC dibenarkan memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengikuti kursus Bahasa Cina dengan syarat memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apakah IPG bukan IPTA? Maka apa beza dengan syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekarang, iaitu boleh masuk ke IPTA menggunakan sijil UEC dengan syarat mempunyai SPM bagi laluan kursus tertentu seperti Bahasa Cina,” katanya beliau.

Puad turut mendakwa kenyataan Muhyiddin mengenai isu itu memperlihatkan beliau cuba mempolitikkan isu UEC.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin supaya mengingatkan Muhyiddin mengenai dasar yang pernah dilaksanakan ketika mengetuai Kementerian Pendidikan.
Mengulas isu Dong Zong, Mohd Puad berkata Muhyiddin juga tidak seharusnya mendabik dada kerana kementerian ketika itu pernah bercadang melaksanakan kertas peperiksaan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) setara dengan sekolah kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa cadangan tersebut tidak diteruskan selepas menerima bantahan daripada Dong Zong.
Baca juga:








