Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kenyataan Pas yang menetapkan calon Perdana Menteri mestilah berumur bawah 70 tahun dan memiliki integriti tinggi telah mencetuskan pelbagai tafsiran politik termasuk spekulasi bahawa ia ditujukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, di sebalik syarat yang diumumkan, parti itu masih belum menamakan calon Perdana Menteri daripada kalangan mereka sendiri.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berpandangan bahawa isu umur hanyalah satu aspek kecil dalam penilaian kepimpinan negara.
“Ya, kita mahu pemimpin muda. Tetapi hakikatnya Pas sehingga kini belum menamakan calon Perdana Menteri mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Menurut Azmi, kenyataan Pas itu mungkin berbunyi seperti nasihat, namun secara tidak langsung boleh dianggap sebagai sindiran kepada beberapa tokoh veteran lain termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalau dah tetapkan syarat, nanti mereka sendiri terikat dengan kata-kata itu,” ujarnya, merujuk kepada kemungkinan Pas terpaksa berdepan dilema jika calon yang mereka pilih kelak menghampiri usia 70 tahun.
Walaupun Pas menegaskan hanya mahu menampilkan calon yang ‘segar dan berintegriti’, penganalisis berpendapat parti itu masih belum mempunyai figura yang benar-benar menonjol untuk dijadikan wajah baharu kepimpinan nasional.
Azmi turut mengingatkan bahawa usia bukanlah penentu mutlak keupayaan seseorang pemimpin.
“Yang penting ialah kebolehan memimpin, mendapatkan sokongan dan mengurus kepercayaan rakyat. Bukan angka umur,” katanya lagi.
Dalam konteks politik semasa, kenyataan Pas itu dilihat sebagai usaha membina naratif bahawa parti itu bersedia membawa generasi baharu ke tampuk kepimpinan negara.
Namun katanya, tanpa calon yang jelas dan strategi yang konkrit, mesej tersebut masih belum cukup kukuh untuk diyakini sebagai pendirian rasmi.
Bagi Azmi, kenyataan itu lebih menyerupai strategi politik untuk menguji reaksi parti lawan berbanding satu pelan sebenar ke arah perubahan kepimpinan.