PETALING JAYA: Kenyataan terbaru Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mula memercikkan api ketegangan dengan Bersatu dianggap bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, corak politik Pas sudah lama terbukti konsisten dengan sikap ‘berkawan apabila terdesak, menunggang selagi untung dan menendang sekutu apabila hilang nilai guna’.
“Di atas pentas ceramah, air liur dihamburkan demi menjunjung istilah wala’, ukhuwah dan istiqamah.
“Namun di belakang tabir realiti, Pas ialah antara parti paling lincah menukar jersi politik mengikut arah angin kuasa,” katanya.
Ashraf Mukhlis mengingatkan bagaimana Pas suatu ketika dahulu mengkafirkan UMNO melalui ‘Amanat Hadi’, sehingga masyarakat berpecah, surau bergolak, solat dua imam, malah adik-beradik putus silaturahim.
Namun selepas Pilihan Raya Umum 2018, UMNO tiba-tiba disucikan menjadi ‘saudara seakidah’ di bawah Piagam Muafakat Nasional.
Apabila UMNO enggan tunduk, piagam itu dicampak ke longkang dan naratif ‘penyamun’ dihidupkan semula.

Katanya lagi, ketika mahu memikat undi urban dan bukan Melayu, Pas mempertahankan tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR atas nama keadilan sejagat.
Tetapi hari ini, bekas sekutu itu dituduh sebagai musuh agama, ejen asing dan ancaman akidah.
Ashraf Mukhlis berkata, fatwa politik Pas berubah mengikut koordinat kerusi yang mahu direbut.
Kini katanya, Bersatu pula dilihat sedang menunggu giliran untuk ‘disembelih’ di altar politik Pas.
Waktu sama-sama menikmati ghanimah di Putrajaya, Bersatu dipuji sebagai penyelamat ummah.
Tetapi apabila Bersatu mula kehilangan taring, akaun dibekukan dan masa depan semakin malap, Pas mula menunjukkan belang sebenar.
“Langkah kanan sudah disusun untuk mencari dahan baru yang lebih subur, meninggalkan sekutu lama terkapai-kapai di tengah gelanggang,” katanya.
Tambah Ashraf Mukhlis, politik Pas hari ini bukan lagi soal mempertahankan prinsip Islam tetapi lebih kepada siapa yang boleh dijadikan kenderaan untuk membawa mereka ke pintu gerbang kuasa.
“Selagi ada manfaat yang boleh diperah, selagi itulah gelaran sahabat perjuangan dilaungkan.
“Tetapi bila kapal mula bocor dan karam, Pas biasanya menjadi antara pihak paling awal melompat menyelamatkan diri sambil membiarkan bekas sekutu tenggelam sendirian,” katanya lagi.








