KUALA LUMPUR: Pembangunan negara tidak wajar hanya diukur melalui pencakar langit, kemajuan fizikal atau kemodenan prasarana semata-mata, sebaliknya mesti berakar kepada kehidupan dan kebajikan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menekankan bahawa setiap langkah ke hadapan perlu berpaksikan keadilan serta keperluan masyarakat agar tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran.
“Pembangunan negara tidak wajar hanya diukur melalui ketinggian bangunan, kemajuan fizikal atau kemodenan prasarana semata-mata tetapi ia berakar menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat dengan setiap langkah ke hadapan berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
“Justeru, semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan bersama.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Ucapan itu disampaikan dalam satu hantaran di Facebook sempena sambutan Ulang Tahun Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari setiap tahun.
Anwar turut menegaskan bahawa semangat Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh sebagai asas kepada keharmonian dan kesejahteraan bersama, selaras dengan aspirasi membina negara yang inklusif dan berdaya tahan.








