Pendaki Jaslinda Ditemui Selamat Selepas 15 Hari Hilang Di Gunung Batu Putih

TAPAH: Misteri kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, akhirnya terjawab apabila beliau ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah, Perak, selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih.

Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin, mengesahkan penemuan itu dan berkata, Jaslinda kini berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Beliau (Jaslinda) ditemui oleh penduduk Orang Asli dan segera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Jaslinda, 49 tahun, sebelum ini menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain dan dua malim gunung.

Beliau dilaporkan hilang pada 24 Mei selepas kali terakhir dilihat meneruskan pendakian seorang diri ke puncak Gunung Batu Putih sekitar pukul 7.30 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak 25 Mei melibatkan pelbagai agensi termasuk JBPM, polis dan pasukan khas STORM, namun usaha itu berdepan cabaran cuaca serta laluan hutan yang sukar.

Penemuan Jaslinda disambut dengan penuh rasa syukur oleh keluarga, rakan pendaki dan masyarakat setempat yang mengikuti perkembangan SAR ini sejak awal.

Ramai netizen meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan pasukan penyelamat serta komuniti Orang Asli yang memainkan peranan penting dalam usaha pencarian.

Anda Mungkin Berminat