NEW YORK: Penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel kini diramalkan semakin suram, tanpa tanda-tanda penyelesaian di hujung konflik yang berpanjangan.
Ketika sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan itu.
Beliau berkata, komitmen politik ke arah matlamat jangka panjang bagi Palestin semakin merosot dari masa ke masa.
“Penyelesaian dua negara kini hampir ke titik tidak boleh kembali.
“Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menghalang pendudukan dan keganasan yang berterusan,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Guterres turut berkata, hak rakyat Palestin untuk hidup dalam keamanan dan keselamatan kini semakin terjejas, manakala aspirasi sah mereka untuk memiliki tanah air semakin dinafikan.
“Sementara mereka (Palestin) terus menanggung kehadiran Israel yang didapati menyalahi undang-undang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” ujarnya lagi.
Beliau menyeru semua negara anggota PBB untuk tidak sekadar berjanji atau merundingkan solusi tetapi mengambil langkah konkrit yang mampu mencipta perubahan kekal.
Guterres turut memberi amaran agar elemen pelampau dari mana-mana pihak tidak menghalang proses damai yang tinggal sisa.
“Jangan biarkan pelampau dari mana-mana pihak menghancurkan baki terakhir proses damai,” tegas beliau dengan nada serius.
Dalam laporan terbaharu oleh Kementerian Kesihatan Gaza, sebanyak 52,365 nyawa rakyat Palestin telah diragut oleh tentera haram Israel, manakala 117,905 lagi cedera akibat konflik yang dikategorikan sebagai genosid sejak 7 Oktober tahun lalu.