Perebutan kerusi DUN Mahkota 50-50 – Takiyuddin

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menganggap bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUn) Mahkota bukanlah kubu kuat mana-mana parti, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tegasnya, mana-mana parti yang bertanding berpeluang untuk menang di kerusi berkenaan.

“Dalam politik apa saja boleh berlaku walaupun suasana dilihat atas kertas memihak kepada parti tertentu.

“Begitu juga di DUN Mahkota, bagi saya kerusi berkenaan bukan kubu kuat mana-mana parti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Citarasa pengundi tiada siapa yang tahu dan hanya dibuktikan ketika mengundi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kota Bharu Half Marathon (KBHM), di Kota Bharu semalam.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) umum Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Anda Mungkin Berminat