KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu di sebuah dewan sekolah menengah di Likas, semalam, selepas disyaki terlibat dengan ajaran yang dikaitkan dengan penyelewengan akidah.
Operasi tersebut dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan aduan awam mengenai program dua hari yang dipercayai menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, semakan mendapati program berkenaan yang dikenali sebagai Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 mempunyai kaitan dengan kumpulan yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak 2007.
Beliau berkata, daripada jumlah yang ditahan, 12 merupakan pemimpin dan penganjur, manakala selebihnya 288 adalah ahli kumpulan tersebut yang turut hadir dari beberapa daerah di Sabah, selain penyertaan pimpinan tertinggi sebuah pertubuhan berkaitan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai bahan termasuk 24 kain rentang, kira-kira 200 buku serta bahan bacaan, dokumen program, senarai kehadiran dan pelbagai rekod lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan.
Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. Semua individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Pihak berkuasa dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada sumber agama yang sah dan berautoriti serta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat keraguan terhadap mana-mana ajaran atau fahaman yang disebarkan.
Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Islam di negeri itu.








