PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang menegaskan komitmennya terhadap keterbukaan dan perpaduan dengan mengalu-alukan penyertaan semua individu tanpa mengira latar belakang, dalam usaha membina sebuah Malaysia yang lebih adil, makmur dan progresif.
Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman AlHadad, atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, prinsip inklusif itu menjadi teras perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi demi rakyat.
“Kami menghormati proses pemilihan calon yang telus, adil dan mengambil kira pandangan semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kekuatan PKR terletak pada kepelbagaian idea, tenaga dan komitmen para ahli yang bernaung di bawah kepimpinan berprinsip.
Mengulas mengenai spekulasi calon Ahli Parlimen bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Altimet menjelaskan bahawa keputusan tersebut masih terlalu awal untuk dibuat dan akan diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi parti, selaras dengan amalan demokrasi dalaman PKR.
Beliau turut menekankan bahawa pencalonan tidak terikat kepada alamat pemastautin, lokasi cabang atau jawatan dalam parti, selagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, tumpuan Cabang Ampang kini adalah memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, membela kebajikan rakyat serta memastikan agenda reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan parti dapat direalisasikan secara berkesan.








