PM Minta Polis Semak Larangan Fahmi Reza Ke Luar Negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak semula larangan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap pempengaruh dan aktivis seni, Fahmi Reza.

Dalam kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Anwar berkata, kerajaan MADANI menjunjung tinggi kebebasan individu, selagi ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang.

“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

PMO turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan isu berkenaan bagi memastikan keadilan ditegakkan.

Terdahulu, Fahmi Reza menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu mendedahkan bahawa dirinya telah disenarai hitam dan dilarang keluar negara.

“Hari ni, pada hari jadi aku, dan pada Hari Raya Aidiladha, aku dapat tahu aku kena blacklist, dilarang ke luar negara,” katanya.

Difahamkan, Fahmi ditahan di kaunter imigresen pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberitahu bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak membenarkannya ke luar negara tanpa memberikan alasan.

Anda Mungkin Berminat