Oleh: Kamilia Ali
CHUPING: Sebanyak tiga kilogram(kg) ganja dirampas dalam pemantauan di sekitar kawasan Ladang Chuping pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Polis Mohd Shokri Abdullah berkata, anggota Bahagian Risik Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak terserempak sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua individu mencurigakan.
“Kedua-dua suspek melarikan diri setelah menyedari anggota bertugas sedang mengejar mereka. Dalam masa sama, salah seorang suspek telah membuang sesuatu objek ke dalam semak berhampiran kawasan kejadian.
“Ketika situasi kejar-mengejar berlaku anggota bertugas hilang kawalan lalu terbabas dari motosikal dan suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Shokri berkata, seorang anggota mengalami kecederaan di muka, lutut dan siku akibat kejadian tersebut.
Hasil pemeriksaan dibuat terhadap objek yang dijumpai iaitu sebuah beg galas berwarna hitam dan merah.
“Di dalam beg tersebut didapati sebuah beg plastik hitam tertulis ‘fragile’ dengan di dalamnya terdapat tiga ketulan mampat dibalut aluminium foil berwarna emas, mengandungi tumbuhan hijau disyaki dadah jenis ganja anggaran berat tiga kilogram.
“Difahamkan, dadah ganja itu dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand,” jelasnya.
Untuk info, nilai rampasan adalah sebanyak RM9,300 dengan anggaran boleh digunakan oleh seramai 3,000 pengguna dadah.
Justeru, kes disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan hukum gantung hingga mati atau penjara seumur hidup dan jika terlepas hukuman gantung, peslaah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.