PUTRAJAYA: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku mencatat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata program yang bermula Jumaat lalu itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI serta menikmati pelbagai perkhidmatan kerajaan.
“Tahniah kepada rakyat yang menyantuni dan menjayakan program ini,” katanya ketika merasmikan majlis penutup program berkenaan di sini hari ini.
Menurut Anwar, sepanjang tiga tahun pentadbiran, kerajaan telah melaksanakan pelbagai ikhtiar demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum.
“Kalau dihitung, ada 167 ikhtiar baharu, namun kadang-kadang tidak sampai kepada khalayak. Yang lebih menonjol ialah sumpah seranah kerana dalam negara demokrasi dengan media sosial, ruang itu lebih banyak digunakan untuk menghina daripada membina,” katanya.
Justeru, beliau menyeru penjawat awam meningkatkan usaha penyampaian maklumat agar dasar dan inisiatif kerajaan dapat difahami rakyat di semua peringkat.
“Penjawat awam boleh berbeza pandangan, tetapi tugas kita ialah menyampaikan apa yang dilakukan kerajaan dan menegur atau mencadang apa yang perlu ditambah baik,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada barisan Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam yang membantu merangka dasar demi kesejahteraan rakyat.
“Ukuran kejayaan bukan hanya pertumbuhan ekonomi, tetapi keselesaan rakyat secara menyeluruh. Saya hargai kerana majoriti rakyat memilih untuk menjaga komuniti dan negeri mereka dalam kerangka negara Malaysia, bukan melalui sudut sempit yang mengundang perpecahan,” katanya.
Program Rancakkan MADANI menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada pengunjung. Ia merupakan kesinambungan Program Setahun, Dua Tahun dan kini Tiga Tahun Kerajaan MADANI sebagai tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; serta barisan Jemaah Menteri. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz turut hadir.
Baca juga:








