KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih berpeluang memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua walaupun tanpa kerjasama UMNO, kata penganalisis politik, Dr Yusri Ibrahim.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor utama yang perlu diberi perhatian dalam menilai kemungkinan tersebut, antaranya corak sokongan pengundi etnik Cina, peranan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Sekiranya UMNO dan PAS kembali bekerjasama dalam suasana seperti yang digambarkan oleh sayap pemuda kedua-dua parti, pengundi Cina dijangka akan kembali memberikan sokongan padu kepada PH,” katanya.
Dr Yusri berkata, situasi itu berpotensi membolehkan PH kembali menguasai kawasan bandar dan kawasan bercampur, sebagaimana yang berlaku pada PRU14 dan PRU15 sebelum ini.
Mengulas faktor Sabah, beliau menjangkakan GRS akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRU16 susulan kerjasama sedia ada dalam kerajaan Persekutuan serta Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Dengan kedudukan semasa dan sokongan sebagai kerajaan negeri, GRS berpotensi memenangi lebih banyak kerusi Parlimen di Sabah,” katanya.
Bagi Sarawak pula, Dr Yusri menjelaskan bahawa GPS tidak terikat dengan mana-mana gabungan secara mutlak dan cenderung membuat keputusan berdasarkan situasi politik semasa.
Namun, katanya, kerjasama GPS dalam Kerajaan Perpaduan membuka ruang luas kepada Perdana Menteri untuk membina persefahaman menjelang PRU16, dengan formula mudah iaitu tidak bertanding menentang GPS di Sarawak.
Beliau turut menyatakan bahawa bantahan dalaman di Sarawak selepas PRU15, susulan spekulasi GPS akan membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dan PAS, dijangka menjadi pertimbangan penting dalam menentukan hala tuju politik GPS pada masa depan.
“Jika PH mampu mengekalkan prestasi PRU15 atau hanya kehilangan beberapa kerusi, GRS meningkatkan kemenangan di Sabah dan GPS mengekalkan kedudukan di Sarawak, gabungan ini berupaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dr Yusri menegaskan bahawa analisis itu merupakan congakan awal berdasarkan landskap politik semasa bagi menjawab persoalan sama ada PH mampu menang PRU16 tanpa kerjasama UMNO.
Beliau berpandangan gabungan PH, GRS dan GPS mempunyai kelebihan kerana lebih mudah diurus serta kurang terdedah kepada konflik dalaman yang serius, dengan pembahagian kawasan yang lebih jelas mengikut kekuatan parti masing-masing.
“DAP boleh memberi tumpuan kepada kawasan bukan Melayu di bandar, PKR di kawasan bercampur, AMANAH di kawasan Melayu, manakala GRS dan GPS masing-masing di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sebaliknya, beliau melihat kerjasama antara UMNO dan PAS, sekiranya benar-benar berlaku, sebagai lebih mencabar untuk diurus, khususnya dalam isu pembahagian kerusi.
“Kedua-dua parti mempunyai kekuatan dalam segmen pengundi Melayu yang sama, sekali gus berpotensi mencetuskan konflik jika tidak diurus dengan teliti, lebih-lebih lagi jika BERSATU turut menyertai gabungan itu,” katanya.
Baca juga:








