Oleh: Haikal Tajuddin
SEBUT sahaja pulau Perhentian, mesti terbayang keindahan pulau yang dipenuhi air ombak kebiru-biruan dengan hembusan angin yang memberi ketenangan.
Pastinya percutian ini sebagai satu kenangan lebih segar setelah berhempas pulas bekerja dengan menjadikan pulau Perhentian sebagai habuan istimewa.
Itulah yang diungkap oleh pekerja swasta, Nur Iqbal Naim, 25 yang berada di sana bersama tujuh rakannya dengan bajet RM200 seorang bagi percutian dua hari satu malam.
“Pada asalnya, saya bersama rakan-rakan telah bercadang untuk bercuti selama tiga hari dua malam. Akibat kekangan masa yang tidak mengizinkan, kami jadikan ia kepada dua hari satu malam sahaja iaitu pada 19 Februari (Rabu) sehingga 20 Februari (Khamis).
“Jadi kami bertolak pada petang Selasa sampai ke jeti untuk menaiki bot ke Pulau Perhentian. Kami juga tidak ambil sebarang pakej, malah semuanya dikendalikan secara sendiri dari segi pembayaran, tempat penginapan dan sebagainya.
“Setelah tiba di sana, kami terus ke D Rock Garden, Long beach. Bilik yang disediakan itu sememangnya sangat menarik kerana setiap bilik kami dihadapkan dengan kebiruan pantai yang sangat menyenangkan, ditambah dengan tiupan angin yang sejuk.
“Oleh itu, bilik yang disediakan itu sama sekali tidak perlu memiliki sebarang penghawa dingin dan kami juga kurang menggunakan kipas siling,” luah Iqbal kepada Malaysia Bangkit.

Setelah selesai mengemas barang, dia bersama rakannya terus bergegas ke aktiviti yang sudah pun dirancang iaitu aktiviti snorkeling, bermula daripada jeti ke lima check point.
“Check point pertama adalah snorkeling di kawasan kumpulan ikan-ikan biasa sahaja. Sebaik tiba di check point kedua, kami telah bermain bersama sekumpulan penyu manakala di check point ketiga, pula adalah dengan ikan harimau.
“Check point yang paling menarik adalah pada yang keempat, kerana kami mandi bersama ikan jerung dengan ketinggian air yang sangat dalam.
“Malangnya, untuk check point terakhir, kami tidak berpeluang untuk mandi dengan air telaga yang sangat sejuk kerana ombak pada ketika itu sangat kuat,” katanya.
Rakannya, Faris Gazali, 25, berkata jumlah yang dihabiskan sepanjang melakukan aktiviti tersebut bersama dengan penginapan adalah sekitar RM167.
Setelah penat melakukan aktiviti tersebut, Faris dan rakannya terus bergegas ke tempat makan di Kampung Nelayan yang dikatakan lebih murah.
Keesokkan paginya, mereka dikatakan terus bergegas pulang malah mengambil santapan pagi di Seberang pulau dengan jumlah perjalanan sekitar 1 kilometer (KM).
“Sejujurnya, bagi kami, dua hari untuk bercuti di Pulau Perhentian, sememangnya tidak mencukupi. Kami mungkin akan kembali lagi tetapi ingin bercuti dengan lebih lama di sana,” ujar Faris.
Baca juga: