Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035: Pendidikan Harus Berakar Pada Nilai Dan Budaya – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke dekad baharu pendidikan dengan peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, yang menekankan pembentukan insan berjati diri, beradab dan berjiwa kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem pendidikan negara mesti berpaksikan nilai, budaya dan jati diri Malaysia, sambil bersedia menghadapi cabaran global yang kian kompleks.

“Pendidikan bukan semata-mata soal pencapaian akademik atau kecemerlangan teknikal tetapi usaha besar membentuk insan yang berakal, beradab dan berjiwa kemanusiaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pelan itu katanya, turut mengangkat Bahasa Melayu sebagai teras ilmu dan perpaduan nasional, di samping memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris untuk melahirkan generasi yang yakin dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Lonjakan ini mesti berakar kukuh pada jati diri, nilai dan budaya Malaysia, sambil berani menguasai disiplin serta cabaran baharu yang dituntut oleh zaman yang pantas berubah.

“Bahasa Melayu wajib terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan wahana perpaduan nasional.

“Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasa agar anak-anak kita mampu berperanan secara bermakna di pentas antarabangsa,” katanya lagi.

Anwar turut menekankan keperluan akses pendidikan yang adil dan inklusif agar tiada anak bangsa tercicir hanya kerana kekangan sosioekonomi.

“Pelan yang baik tidak diukur pada keindahan dokumen atau kehebatan pidato tetapi pada keberanian melaksanakannya dengan tekad, disiplin dan integriti yang tidak boleh ditawar,” katanya.

Anda Mungkin Berminat