KUALA LUMPUR: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, dengan transformasi digital dan literasi kecerdasan buatan (AI) mencerminkan keseriusan Kerajaan dalam sistem pendidikan negara.
Ketua Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Ts. Dr Siti Hajar Halili berkata RPM tersebut sesuai dengan tuntutan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
“… selari dengan aspirasi negara membina tenaga kerja berkemahiran tinggi, celik digital dan berdaya saing dalam ekonomi berasaskan teknologi.
“Pendekatan pengajaran, pembelajaran dan penilaian tradisional tidak lagi mencukupi dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.
“Justeru, semua institusi pendidikan perlu dilengkapi dengan infrastruktur digital yang mantap termasuk internet berkelajuan tinggi, peranti digital dan sistem maklumat pintar bagi menyokong pedagogi inovatif,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tambahnya lagi, keinginan Kerajaan untuk melahirkan pengguna teknologi yang memiliki kemahiran pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah dilihat sebagai perubahan sistemik merangkumi kurikulum, pedagogi, penilaian, tadbir urus serta ekosistem pembelajaran secara menyeluruh.
“Pengintegrasian AI pula dikenal pasti sebagai pemangkin utama kepada pembelajaran, penilaian adaptif serta pembuatan keputusan berasaskan data yang akan meningkatkan keberkesanan pengajaran, malah berupaya merapatkan jurang pencapaian pelajar dan memperkukuh ekuiti pendidikan, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Dalam usaha memastikan transformasi ini berjaya, kerajaan memberi penekanan terhadap pemerkasaan guru sebagai teras utama pelaksanaan.
“Peranan guru ditakrifkan semula daripada penyampai kandungan kepada fasilitator dan pereka bentuk pengajaran yang memanfaatkan analitik pembelajaran serta teknologi digital untuk membangunkan kemahiran aras tinggi dan sosio-emosi pelajar,” ujarnya lagi.

Dr Siti Hajar turut menyatakan transformasi pendidikan ini dilihat sejajar dengan aspirasi ekonomi negara untuk membina tenaga kerja yang memiliki literasi digital dan literasi AI sebagai kemahiran asas, setanding dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira.
“Literasi AI dianggap penting bagi membolehkan rakyat Malaysia mengambil bahagian secara aktif dan berkesan dalam ekonomi digital, selain menyokong pertumbuhan sektor inovasi, keusahawanan dan teknologi baharu.
“Sehubungan itu, integrasi kemahiran digital merentasi kurikulum, daripada pengenalan pengekodan di peringkat sekolah rendah hingga analisis data dan AI di pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara strategik.
“Kerjasama dengan industri melalui latihan amali digital dan platform maya turut dikenal pasti sebagai mekanisme penting untuk mendedahkan pelajar kepada aplikasi dunia sebenar dan peluang kerjaya masa hadapan,” katanya lagi.
Secara keseluruhannya, RPM 2026–2035 mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama pembangunan modal insan, daya saing ekonomi dan kesejahteraan sosial, sekali gus mempersiapkan Malaysia menghadapi masa depan digital yang semakin mencabar.
Baca juga:








