PETALING JAYA: Keterbukaan mencabar jawatan Timbalan Presiden PKR tanpa halangan pimpinan menunjukkan keberanian politik dan suburnya wacana dalaman dalam parti itu.
Malah, menurut penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, perebutan jawatan nombor dua PKR itu dilihat sebagai cerminan pendewasaan demokrasi dalaman parti, selari dengan semangat reformasi yang menjadi teras perjuangannya.

“Pertembungan ini adalah ujian litmus kepada keikhlasan PKR terhadap idealisme asalnya iaitu reformasi, meritokrasi dan ketelusan.
“Ia bukan sekadar soal siapa menang, tetapi bagaimana pertandingan itu berlangsung, siapa yang menyokong siapa dan apakah nilai serta gagasan yang diangkat.
“Jika ditangani secara bijaksana, ia menjadi peluang untuk meremajakan parti, jika silap langkah, ia akan mencipta retak yang sukar dipulihkan menjelang PRU akan datang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Bagaimanapun, melihat dari sisi lain, Awang Azman berpandangan, jika pertandingan ini dicemari perpecahan dan campur tangan tertentu, ia boleh menandakan krisis dalaman berterusan yang mengancam perpaduan PKR menjelang pilihan raya.

Menjelang pemilihan pusat PKR pada bulan ini, pimpinan PKR peringkat cabang, negeri serta pusat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah Anwar mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Nurul Izzah melalui satu kenyataan menegaskan akan membuat keputusan terbaik dalam mempertimbangkan cadangan akar umbi dan pimpinan PKR, dengan mengambil kira soal penyatuan dan persepakatan dalaman parti.
Menyusul kenyataan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan terus mempertahan jawatan yang disandangnya sejak 2022 itu, manakala Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail setakat ini belum memutuskan pendirian.
Mengulas lanjut mengenai saingan itu, Awang Azman berkata, pertandingan ini lebih cenderung kepada saingan antara personaliti dan kelompok dalam parti, bukannya perbezaan dasar ketara.

“Misalnya, jika Nurul Izzah benar-benar bertanding, ia akan menimbulkan pertembungan antara warisan politik keluarga Anwar dan golongan yang mendambakan pembaharuan melalui tokoh-tokoh teknokratik atau profesional bukan legasi.
“Namun begitu, masih tidak jelas sama ada pertarungan ini didorong oleh perbezaan dasar yang ketara contohnya soal ketelusan, hala tuju parti atau strategi menangani cabaran ekonomi dan Melayu-Islam atau sekadar mencerminkan pertembungan elit yang berlindung di sebalik simbol perubahan,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pencalonan Nurul Izzah mungkin menguatkan persepsi nepotisme terhadap PKR, walaupun beliau memiliki kelayakan dan pengalaman.
Ini kerana, ujar beliau, penyertaan Nurul Izzah ketika Anwar masih menjadi Presiden dan Perdana Menteri berisiko memperkukuh naratif dinasti politik yang dikritik PKR sendiri.
Baca juga: