PETALING JAYA: Infrastruktur telekomunikasi yang menjadi nadi kehidupan moden serta pemacu ekonomi digital negara kini diberi perhatian serius apabila Kerajaan Negeri Selangor bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 pada Selasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, internet dan komunikasi bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya telah menjadi keperluan asas rakyat merangkumi pendidikan, pekerjaan, perniagaan, keselamatan dan perkhidmatan kecemasan.
“Sebagai negeri yang menyumbang lebih 26 peratus kepada KDNK negara dan menjadi destinasi utama pelaburan digital termasuk pembangunan pusat data serta industri teknologi tinggi, Selangor memerlukan rangkaian telekomunikasi yang stabil, moden dan berdaya tahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau turut memberi amaran bahawa usaha itu boleh terjejas sekiranya infrastruktur telekomunikasi terus menjadi mangsa vandalisme dan kecurian kabel.
Selangor dilaporkan merekodkan jumlah kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi tertinggi di Malaysia dengan 1,836 kes pada tahun 2024 dan 1,273 kes pada tahun 2025.
Aktiviti seperti kecurian kabel, kerosakan pencawang dan pemotongan rangkaian komunikasi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada industri, malah menjejaskan kehidupan rakyat melalui gangguan internet, transaksi digital, operasi syarikat, pembelajaran serta komunikasi kecemasan.
Amirudin turut melahirkan kebimbangan apabila kegiatan itu semakin berani dilakukan secara terbuka termasuk di kawasan awam dan pada waktu siang seperti yang tular di media sosial kebelakangan ini.
Bagi menangani isu itu, kempen berkenaan akan memperkenalkan beberapa langkah penting seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi melibatkan MCMC, PDRM, PBT, TNB dan pemain industri.
Selain itu, program literasi serta kesedaran awam akan digerakkan, di samping usaha berterusan di kawasan hotspot seperti Rawang, Gombak dan Bangi.
Menteri Besar turut menyeru rakyat Selangor agar bersama-sama menjaga kemudahan awam dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi di kawasan masing-masing.








