Sijil Halal Lonjak PMKS Ke Pasaran Global – Ewon

PETALING JAYA: Sijil halal bukan sekadar lambang pematuhan syariah tetapi kini diiktiraf sebagai pasport berdaya saing ke pasaran antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau menyeru usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agar mengambil peluang mendapatkan pensijilan halal sebagai langkah strategik memperluas capaian produk ke luar negara.

“Usahawan yang memiliki sijil halal berpeluang menembusi pasaran luar negara kerana sijil halal Malaysia diiktiraf secara global,” katanya semasa merasmikan Halal Success Program di Kolej Komuniti Sandakan, hari ini.

Menurut Ewon, kementeriannya bersama agensi seperti PERNAS, SME Corp dan SME Bank giat membantu PMKS menyertai ekspo antarabangsa dengan keutamaan diberikan kepada usahawan yang telah memperoleh sijil halal.

Beliau berkata, inisiatif seperti Halal Success Program bukan sekadar meningkatkan kesedaran tetapi turut menawarkan geran pembangunan serta ruang promosi bagi menyokong pertumbuhan industri halal di Malaysia.

“Halal Success Program ini dilaksanakan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran usahawan tentang pensijilan halal dan membantu mereka membangunkan produk serta perkhidmatan mengikut piawaian yang ditetapkan,” jelas beliau.

Ewon juga menggesa usahawan Sabah agar tidak ketinggalan merebut peluang yang disediakan oleh kementerian bagi memajukan produk tempatan ke tahap global.

Pensijilan halal kini dianggap sebagai kunci strategik untuk melonjakkan PMKS seiring dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

Anda Mungkin Berminat