PORT DICKSON: Kegiatan penyelewengan diesel berjaya dibongkar dalam satu serbuan di sebuah premis di Mukim Jimah, Lukut, awal pagi Sabtu.
Operasi kira-kira jam 2.18 pagi itu dilaksanakan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan hasil risikan terdahulu.
Komander PSP, Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah lori penggerak utama jenis Scania bersama treler sedang memindahkan diesel ke dalam tangki industri di premis terbabit.
Menurutnya, aktiviti itu dipercayai dijalankan tanpa kebenaran sah dan melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dalam operasi tersebut, dua lelaki berjaya ditahan iaitu seorang warga tempatan berusia 36 tahun dan seorang warga Bangladesh berusia 24 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebuah lori bersama treler, peralatan pemindahan minyak, tangki simpanan serta kira-kira 1,000 liter cecair disyaki diesel.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM367,578 melibatkan kenderaan, bahan api dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan ini,” ujarnya.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Rosli memaklumkan, operasi tersebut dilaksanakan menerusi pendekatan REFORM yang menekankan kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan lebih berkesan.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan risikan dan operasi bersepadu bagi membanteras sindiket penyelewengan petroleum secara berterusan.
Baca juga:








