KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 12 Jun ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, suruhanjaya itu telah menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran DUN Johor pada 2 Jun lalu, selaras dengan Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Beliau berkata, berdasarkan Fasal 23(4) undang-undang yang sama, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi membincangkan tarikh penting PRN Johor ke-16 termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain untuk melaksanakan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
DUN Johor dibubarkan pada Isnin selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Shahril memaklumkan permohonan undi pos bagi PRN Johor ke-16 untuk pemilih di dalam dan luar negara telah dibuka mulai hari ini menerusi portal MySPR.
Permohonan itu melibatkan semua kategori pengundi pos iaitu Kategori 1A (anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang menetap di luar negara) dan Kategori 1C (agensi atau organisasi).
“Semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian. Pemilih yang layak dan ingin mengundi secara pos perlu mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum mengemukakan permohonan,” katanya.
Sementara itu, SPR turut mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pemakluman tersebut diterima daripada Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman melalui surat berhubung pembubaran Dewan Negeri ke-15 mengikut Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut beliau, berdasarkan Fasal 56(4) undang-undang berkenaan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
“Sehubungan itu, satu mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya negeri akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran rasmi DUN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam sesi menghadap di Istana Besar Seri Menanti.
Baca juga:








