PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penting bagi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tahun ini, dengan Johor akan mengundi pada 11 Julai 2026 manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun 2026, diikuti pengundian awal pada 7 Julai.
Tempoh berkempen pula berlangsung selama 14 hari, bermula dari 27 Jun hingga 10 Julai.
“SPR juga menetapkan beberapa tarikh penting termasuk urusan undi pos yang telah dibuka bermula 5 Jun 2026,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penetapan Tarikh PRN Johor dan Negeri Sembilan di Menara SPR pada Jumaat.
Bagi PRN Negeri Sembilan, Ramlan memaklumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai sebelum hari mengundi pada 1 Ogos.
Tempoh berkempen di negeri itu juga ditetapkan selama 14 hari, iaitu dari 18 hingga 31 Julai.
SPR turut berkata, permohonan undi pos bagi PRN Johor dibuka kepada beberapa kategori termasuk petugas pilihan raya, anggota keselamatan serta rakyat Malaysia di luar negara.
Tarikh tutup permohonan bagi kategori tertentu ditetapkan pada 19 dan 24 Jun, bergantung kepada jenis pemohon.
Menurut SPR, pengumuman tarikh-tarikh ini menandakan bermulanya fasa persiapan parti-parti politik untuk memperkemas strategi, pemilihan calon serta gerak kerja jentera masing-masing menjelang hari pengundian.








