Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rombakan Kabinet sewajarnya dinilai dengan pandangan lebih terbuka dan bukan semata-mata berdasarkan faktor populariti.
Menurut bekas Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad, meskipun terdapat pandangan yang menyifatkan rombakan itu sebagai kurang menarik dan tidak memberi kesan ‘wow’, ia tidak seharusnya dilihat secara pesimis.
“Memang lazim banyak komen bila Perdana Menteri mengumumkan sedikit rombakan Kabinet.
“Ramai yang berpendapat tidak begitu menarik.
“Kurang wow. Jadi ada rasa kurang teruja. Tapi tidaklah sampai sangat pesimis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengambil contoh, dalam dunia perniagaan dan politik, kebiasaannya keuntungan dan populariti menjadi keutamaan, namun apabila kedua-duanya tidak dikejar, ia menuntut perhatian lebih mendalam.
“Saya sering menjelaskan kepada kawan-kawan, ahli perniagaan sentiasa mencari keuntungan, ahli politik selalu mencari populariti.
“Bila ahli perniagaan tidak cuba ‘memaksima keuntungan’ dan ahli politik tidak mengutamakan populariti, maka kita perlu beri lebih perhatian,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemindahan portfolio, Amin menyifatkan langkah menukar Steven Sim ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai satu peluang yang memberi impak lebih besar kepada golongan usahawan, khususnya PKS yang menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada B40 dan M40.
“Ada yang kata Steven Sim bagus di KESUMA kenapa perlu ditukar? Saya pula berpendapat sebaliknya, saya harap dia dapat memberi impak kepada usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui cabaran besar menanti Hannah Yeoh di Kementerian Wilayah dan Persekutuan namun yakin dengan keupayaan kepimpinan beliau.
“Kementerian Wilayah tidak mudah. Tapi saya kenal Hannah sebagai seorang pemimpin yang terbuka dan sukakan cabaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amin menegaskan bahawa pelantikan baharu perlu diberi masa untuk membuktikan kemampuan, memandangkan realiti politik yang penuh tekanan dan cabaran.
“Ramai boleh mentadbir dan memimpin tapi tidak betah melayan jutaan karenah politik… Masuk politik terus ada musuh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memilih untuk memberi peluang kepada barisan yang baharu dilantik, sambil menegaskan kritikan dan teguran tetap perlu berjalan seiring usaha menjayakan perkara baik.
“Saya jenis manusia yang suka memberi peluang… Kritik dan tegur tetap berjalan. Tanpa henti,” katanya.
Baca juga:








