SHAH ALAM: Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang diperkenalkan sejak tahun 2008 kini membuktikan keberkesanannya apabila seramai 21,295 ahli TAWAS bakal menerima manfaat sebanyak RM1,500 setiap seorang apabila mencapai umur 18 tahun bermula tahun 2026.
Dalam sesi pagi Sidang Dewan Negeri Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM31,511,600 bagi pembayaran kepada ahli TAWAS kelahiran tahun 2008.
“Alhamdulillah, TAWAS yang diperkenalkan sejak tahun 2008 akhirnya kini membuahkan hasil.
“Ahli TAWAS yang sebelum ini menerima manfaat set persekolahan Program Bantuan Masuk Sekolah, PBMS, ketika memasuki Darjah Satu, kini akan mula menerima pula manfaat sebanyak RM1,500 apabila mencapai umur 18 tahun,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tempoh 2020 hingga 2025, pelaburan tabungan itu telah menjana keuntungan sebanyak RM79.5 juta dengan kadar margin yang direkodkan mencecah lapan peratus.
“Ini membuktikan bahawa pengurusan tabungan yang berhemat dan berstrategi mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat khususnya kepada para peserta program ini,” kata Amirudin.








