Oleh: Aliyaa Azmi
MUTAKHIR ini, landskap digital negara menyaksikan peningkatan ketara dalam kandungan yang menghasut ekstremisme, keganasan atau terrorisme sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pengguna, khususnya golongan muda.
Platform yang sepatutnya menjadi wahana komunikasi dan perkongsian maklumat semakin disalah guna untuk menyebarkan kandungan berbahaya, palsu serta menghasut sehingga berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Contoh paling ketara ialah tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berjaya memperoleh Injunksi Erinford daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang penyiaran kandungan memudaratkan di platform Telegram, termasuk saluran “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”. Malaysia Bangkit; 14 Nov 2025
Langkah ini bukan sahaja membolehkan penutupan saluran yang beroperasi dengan modus operandi menyebarkan kandungan palsu dan mengelirukan, malah turut menegaskan bahawa kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan mana-mana pihak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata penyebaran kandungan ekstremisme dan hasutan keganasan di platform digital kini semakin licik dan sukar dikesan kerana ia disamarkan melalui simbol, bahasa berkod dan imej yang diubah suai, sekali gus meningkatkan risiko pengaruh terhadap golongan muda.
“Kandungan ekstremisme kini disampaikan secara terselindung dan kreatif, menjadikan ia sukar dikesan oleh pengguna biasa. Taktik sebegini membolehkan mesej berbahaya tersebar tanpa disedari.
“Jika kandungan sebegini tidak ditangani segera, ia boleh menyemai ideologi berbahaya dalam masyarakat, terutama dalam kalangan belia yang mudah terpengaruh ideologi ganas boleh berakar dalam masyarakat dan menjejaskan keharmonian sosial,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Siraj turut memberi contoh dari luar negara, antaranya di Indonesia, di mana penyebaran provokasi dan propaganda melalui media sosial telah dikaitkan dengan beberapa insiden rusuhan dan keganasan.
Kejadian itu termasuk pembakaran stesen MRT, ibu pejabat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, serta perobohan rumah ahli DPR, Ahmad Sahroni, menunjukkan betapa cepatnya pengaruh platform digital. Malaysia Bangkit; 2 Sept 2025
Beliau berkata platform digital kini perlu lebih bertanggungjawab dengan memperkukuh sistem moderasi, menapis kandungan secara proaktif dan memastikan mekanisme pelaporan berfungsi dengan efektif.
“Platform perlu mengambil pendekatan tiada toleransi terhadap kandungan keganasan dan ekstremisme, serta bertindak segera bagi melindungi pengguna.
“Pendidikan literasi digital adalah kunci untuk meningkatkan daya tahan pengguna terhadap mesej berbahaya dan propaganda ekstremisme.
“Masyarakat mesti dididik mengenai cara mesej berbahaya dibina dan disasarkan supaya mereka dapat menilai dan menangkis pengaruh negatif secara berkesan,” tambahnya.

Pada September 2025, kerajaan Nepal menguatkuasakan larangan ke atas beberapa platform media sosial utama seperti Facebook, X (Twitter) dan WhatsApp selepas didapati berlaku penyebaran akaun palsu, maklumat palsu, hasutan dan kandungan berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
Larangan ini mencetuskan protes besar dalam kalangan belia, yang berakhir dengan keganasan dan sekurang‑kurangnya 19 orang terbunuh apabila polis membuka tembakan terhadap penunjuk perasaan.
Jika dilihat kepada kes-kes di Indonesia dan Nepal, isu penyebaran kandungan ekstremisme dan keganasan bukan sahaja membimbangkan di peringkat nasional, tetapi mempunyai impak antarabangsa.
Kandungan berbahaya ini mudah merentasi sempadan melalui platform digital, mempengaruhi individu dan komuniti di pelbagai negara. Keadaan ini menekankan bahawa tindakan pencegahan dan kawalan tidak boleh bersifat lokal sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama serantau dan antarabangsa antara kerajaan, platform digital, serta organisasi masyarakat.

Apa yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) lakukan untuk membendung kandungan ekstremisme dan keganasan:
- Tindakan undang-undang terhadap saluran berbahaya: MCMC memfailkan kes terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kepercayaan terhadap institusi negara. Mahkamah kemudian mengeluarkan injunksi untuk menghentikan penyebaran kandungan tersebut.
- Injunksi dan penutupan saluran: Mahkamah memerintahkan penutupan saluran yang menyebarkan kandungan berisiko tinggi dan larangan penerbitan kandungan serupa bagi memastikan keselamatan awam. Malaysia Bangkit; 31 Okt 2025
- Regulasi platform digital: Sejak 2024, semua platform media sosial dan aplikasi pesanan dengan sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia perlu mendapatkan lesen rasmi sebagai “Application Service Provider (ASP (C))” untuk bertanggungjawab terhadap kandungan di platform mereka. Malaysia Bangkit; 28 Okt 2025
- Kod Etika / Amalan Terbaik: MCMC memperkenalkan kod etika untuk panduan penyedia platform dalam memastikan kawalan kandungan, perlindungan pengguna, dan keselamatan digital, terutamanya bagi golongan rentan seperti kanak-kanak dan belia. Malaysia Bangkit; 25 Julai 2025
- Pengawasan dan pemantauan berterusan: MCMC memantau platform digital secara aktif untuk mengesan kandungan berbahaya, termasuk propaganda ekstremisme, hasutan keganasan, penipuan dan kandungan eksplisit.








