Tragedi FRU: Jangan Alih Fokus Siasatan Dengan Naratif Murahan – MSOSH

PETALING JAYA: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa agar siasatan terhadap kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak dikaburkan dengan naratif yang tidak relevan.

Presiden MSOSH, Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, tragedi itu bukan sekadar insiden lalu lintas biasa tetapi membuktikan adanya kelompongan besar dalam aspek keselamatan serta penyelenggaraan kenderaan operasi.

“Malangnya, kurang 24 jam selepas kejadian, tumpuan ramai telah dialihkan kepada sejarah peribadi pemandu.

“Fokus utama harus kekal pada punca sebenar kemalangan, apakah sistem brek gagal? Apakah terdapat masalah teknikal yang diabaikan? Semua persoalan ini berada di bawah tanggungjawab majikan atau pihak penyelenggara kenderaan.

“Bukan rekod saman yang menyebabkan tayar pecah atau brek tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, MSOSH turut menyeru para wartawan dan pasukan penyiasat agar mengutamakan profesionalisme dalam melaksanakan tugas mereka.

Menurut Ahmad Fakhrul, etika kewartawanan dan penyiasatan menuntut agar fakta sebenar diutamakan serta persepsi tidak adil dielakkan terutamanya sebelum hasil siasatan rasmi diumumkan.

“Fokus penyiasatan perlu tertumpu kepada sistem, prosedur dan aspek teknikal, bukannya mencari kambing hitam untuk tatapan umum,” katanya lagi.

Mengakhiri kenyataan, MSOSH menegaskan bahawa keselamatan anggota barisan hadapan negara perlu diberi keutamaan.

“Jangan salahkan pemandu jika sistem yang sepatutnya melindunginya gagal,” tegasnya.

Beliau berkata, pihak majikan termasuk agensi pengendali kenderaan berat harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek penyelenggaraan dan tahap keselamatan aset yang digunakan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragis di Teluk Intan, Perak, mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Anda Mungkin Berminat