Trump Umum Lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat, sambil menegaskan komitmennya untuk mengekalkan hubungan baik dengan China, lapor Agensi Berita Kyodo.

Walaupun ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing kembali meningkat, Trump kekal optimis menjelang kemungkinan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, minggu depan di Korea Selatan.

“Kami akan mengadakan perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China. Saya amat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” katanya dalam sidang media di White House bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Trump turut menyebut bahawa Malaysia dan Jepun akan menjadi sebahagian daripada destinasi lawatannya sebelum beliau menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik di Korea Selatan hujung Oktober ini, kali pertama beliau mengesahkan secara terbuka rancangan lawatan tersebut.

Menurut sumber kerajaan Jepun, Trump dijangka tiba di Malaysia bagi menghadiri persidangan serantau yang turut disertai negara ASEAN dan sekutunya, sebelum meneruskan lawatan tiga hari ke Jepun mulai 27 Oktober, diikuti Korea Selatan.

Lawatan ini bakal menjadi kunjungan rasmi pertama Trump ke Asia sejak memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS pada Januari lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat