KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) tampil memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi adegan dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial, sekali gus memutuskan persembahan berkenaan tidak layak dinilai dalam pertandingan Karnival Teater (KARVITER).
Dalam kenyataan rasmi, UM berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan mengambil maklum kebimbangan masyarakat yang menyifatkan adegan itu sebagai tidak sesuai.
Menurut universiti itu, hasil penelitian mendapati babak yang dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah diluluskan melalui proses tapisan.
“Perkara ini jelas merupakan satu pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
UM menjelaskan bahawa berdasarkan peraturan KARVITER, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi serta kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya dan reputasi universiti.
Sehubungan itu, universiti menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan program.
“Universiti Malaya dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul,” kata kenyataan itu lagi.
Sebagai langkah susulan, UM bukan sahaja membatalkan penilaian persembahan terbabit, malah turut melaksanakan tindakan penambahbaikan bagi memperketat pemantauan agar insiden sama tidak berulang.
Terdahulu, rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim dalam persembahan teater itu tular di aplikasi Thread.








