VM2026: Majlis Peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan Bandar ‘I LITE U’

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Sabtu malam melancarkan projek inovasi pencahayaan bandar ‘I LITE U’, sebuah inisiatif strategik yang bertujuan memperindah wajah malam Kuala Lumpur serta memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Majlis pelancaran berlangsung meriah di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kehadiran istimewa pelakon Malaysia bertaraf antarabangsa serta pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh turut menyerikan acara bersejarah itu.

Sebagai pembuka tirai kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), ‘I LITE U’ menyasarkan pencapaian besar dengan 28 juta ketibaan pelancong serta RM76 bilion hasil pelancongan.

Inisiatif itu bukan sahaja menekankan transformasi landskap bandar pada waktu malam, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek itu melangkaui sekadar aspek estetika dan penjenamaan bandar.

“Infrastruktur pencahayaan moden ini bukan sahaja bertujuan memperindah landskap malam Kuala Lumpur, malah turut meningkatkan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Michelle Yeoh menyifatkan penglibatannya dalam program itu sebagai amat bermakna.

“Khususnya ketika Malaysia bersedia menyambut kedatangan pelawat dari seluruh dunia sempena VM2026,” ujarnya.

Bukit Bintang dipilih sebagai lokasi perintis kerana peranannya sebagai hab pelancongan dan komersial utama Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan perarakan serta persembahan kebudayaan yang melibatkan hampir 20 kontinjen daripada pelbagai kementerian, agensi dan institusi pendidikan.

Projek perintis itu merangkumi pemasangan pencahayaan pintu gerbang, pembinaan arca mercu tanda VM2026, naik taraf lintasan pejalan kaki dengan pencahayaan lebih terang dan selamat serta pembinaan lintasan pejalan kaki baharu yang dilengkapi sistem pencahayaan dipertingkat bagi menjamin kebolehlaluan dan keselamatan pada waktu malam.

‘I LITE U’ diterajui secara bersama oleh KPKT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sokongan strategik turut diberikan oleh Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC), PR1MA Malaysia, YTL Land dan Grab Malaysia.

KPKT menekankan bahawa VM2026 bukan sekadar memperindah wajah bandar tetapi turut merangkumi aspek kebersihan, tanggungjawab awam dan pengalaman pelawat secara menyeluruh.

Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang bermula pada 1 Januari 2026 menjadi sebahagian daripada usaha menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang bersih, selamat dan mesra pelawat.

Majlis turut dihadiri oleh barisan pemimpin negara termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Anda Mungkin Berminat