Wasiat terakhir Bung Moktar, BN pertimbang anaknya bertanding di Kinabatangan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk meletakkan anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Januari depan.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata cadangan itu selari dengan hasrat yang pernah disuarakan oleh Allahyarham Bung Moktar sebelum pemergiannya, agar Naim Kurniawan diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO bagaimanapun menjelaskan, perkara tersebut belum dibawa ke mesyuarat induk UMNO dan Dewan Tertinggi BN.

Menurut beliau, penerimaan pengundi di Parlimen Kinabatangan terhadap Naim Kurniawan setakat ini adalah baik, namun keputusan muktamad memerlukan perbincangan lanjut bersama kepimpinan parti serta rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya perlu mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan kepimpinan dan juga rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dilaporkan berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin tidak akan bertanding pada PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Terdahulu media melaporkan, Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong susulan pemergian Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

Allahyarham Bung Moktar sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat