Waytha sengaja main isu kaum, gagal faham RMK13 dengan rasional – AMK

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam kenyataan P. Waytha Moorthy sebagai tidak bertanggungjawab dan berbaur perkauman susulan kritikannya terhadap RMK-13 yang disifatkan sempit dan tidak rasional.

Naib Ketua AMK, Pravin Murali berkata, beliau kecewa dengan tindakan Waytha yang terus memainkan sentimen kaum dan memutar belit pendekatan inklusif Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri dengan jelas menyatakan bahawa setiap bantuan dan inisiatif perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bukan semata-mata berasaskan kaum. Ini satu langkah progresif, adil dan menepati realiti Malaysia hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pravin,sebagai bekas menteri, Waytha sepatutnya lebih matang menilai dasar dan faham bahawa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional merangkumi latihan dan bimbingan untuk semua kaum, bukan sekadar pinjaman.

Tambahnya, masyarakat India yang memerlukan tetap menjadi antara kelompok yang menerima manfaat secara langsung dalam RMK-13 menerusi program pembangunan sosioekonomi secara bersasar dan inklusif.

“Bantuan kepada masyarakat India tidak diabaikan. Ia disalurkan bukan atas dasar kaum, tetapi atas keperluan sebenar. Inilah pendekatan adil yang diamalkan oleh Kerajaan Madani,” katanya.

Justeru, Pravin menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh pemimpin tertentu yang menurutnya hanya mahu terus menghasut dan menanam kebencian berasaskan kaum.

“Masyarakat hari ini tidak perlukan lagi pemimpin yang sekadar bijak bermain emosi dan menghasut. Sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan, bukan dikurung dalam naratif lapuk yang memecahbelahkan,” tegas beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat