Klang dinaik taraf berstatus bandar raya

Kerajaan menerusi Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, cadangan berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh jemaah menteri yang bermesyuarat, semalam.

Beliau berkata, MPK akan menjadi bandar raya keempat di Selangor selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan ke-20 di Malaysia.

“Penaiktarafan ini bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan yang mampan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti serta bertaraf antarabangsa untuk meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat di Klang.

“Saya yakin, kelebihan naik taraf menjadi bandar raya akan menambah kemakmuran dan keselesaan yang dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Program Sentuhan Kasih Selangor, hari ini.

Kor Ming berkata, istiadat pengisytiharan MPK sebagai bandar raya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata melalui program Sentuhan Kasih KPKT, kementerian itu meluluskan permohonan 21 projek oleh MPK berjumlah RM5 juta.

Katanya, antara projek yang akan dilaksanakan adalah menaik taraf Pasar Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat (Jalan Keretapi Lama), laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota serta membina tandas awam moden.

MPK bakal menjadi bandaraya keempat di Selangor yang dinaik taraf kepada status bandar raya selain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Anda Mungkin Berminat