Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU) pimpinan Kiyai Haji Yahya Cholil Tsaquf dan jajarannya, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, pertemuan selepas selesai program Temu Anwar di Jakarta, Indonesia malam tadi, menyentuh kepentingan menguasai dan memelihara ilmu turath serta keupayaan membaca situasi semasa.
“Saya singgung pengalaman panjang saya bersama Almarhum Abdurrahman Wahid (Gus Dur), mantan Presiden Indonesia serta pemimpin NU yang saya anggap sebagai sahabat yang setia dari waktu saya hadapi kesukaran dalam perjuangan politik saya.
“Saya juga zahirkan penghargaan kepada kepimpinan NU yang sudi hadir untuk bertemu dan bertukar pandangan,” katanya.
Anwar turut berharap perbincangan seperti itu dapat dilakukan lagi demi manfaat umat.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Jakarta, Indonesia dari 5 hingga 7 September ini.
Semalam, program dialog anak muda bersama Anwar iaitu Temu Anwar, diadakan buat julung kali di negara itu