Global

Patrick Dempsey dinobat sebagai ‘lelaki paling seksi 2023’

Bintang Grey’s Anatomy, Patrick Dempsey dinobatkan sebagai ‘lelaki paling seksi 2023’ oleh majalah People. Pengumuman itu menyaksikan bintang Marvel, Chris Evans tersingkir daripada gelaran yang diraihnya tahun lalu.

Pelakon berusia 57 tahun ini dilaporkan terkejut ketika diumumkan pemenang gelaran itu, namun sempat berseloroh yang dia akan sentiasa menjadi pengiring pengantin.

“Saya senang dengan pengiktirafan ini, dan pastinya ego saya sedikit meningkat, tetapi ini adalah salah satu platform yang boleh digunakan untuk sesuatu yang positif,” ujarnya dalam temu bual bersama majalah People.

Dempsey menjadi penghias muka depan majalah berkenaan bagi edisi bulan November.

Untuk rekod, Dempsey membintangi hampir 250 episod siri Grey’s Anatomy sebagai pakar bedah Saraf menerusi watak Derek Shepherd atau lebih dikenali sebagai McDreamy.

Beliau juga berjaya membuatkan hati ramai wanita ‘cair’ ketika memegang watak seorang peguam dalam filem muzikal Enchanted yang ditayangkan pada 2007.

Dempsey berkahwin dengan Jillian Fink, jurusolek dan pengasas produk kecantikan. Hasil perkahwinan itu mereka memiliki tiga orang cahaya mata iaitu Talula Fyfe Dempsey, 21, dan pasangan kembar lelaki, Sullivan Patrick Dempsey dan Darby Galen Dempsye yang kini berusia 16 tahun.

Sementara itu, Dempsey memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi beberapa filem antaranya Can’t Buy Me Love (1987) dan Loverboy (1989). Selain Enchanted (2007), filem yang berjaya melonjakkan namanya adalah Sweet Home Alabama (2002), Made of Honor (2008) dan Bridget Jones’s Baby (2016).

Pada Disember ini, Dempsey akan muncul di layar perak menerusi filem biopik, Ferrari, arahan Michael Mann yang berkisar mengenai pemandu Formula Satu Itali, Piero Taruffi dan beliau bergandingan dengan Adam Driver serta Penelope Cruz.

Difahamkan Dempsey menghubungi sendiri Mann untuk terlibat dalam projek filem ini. Sebagai peminat dan pemilik koleksi kereta sport dan kereta vintaj, Dempsey juga menyertai pelbagai perlumbaan kereta pada waktu lapangnya.

Antaranya, dalam acara pro-am seperti 24 Hours of Le Mans, Rolex 24 di perlumbaan kereta sukan Daytona dan perlumbaan luar jalan Ensenada SCORE Baja 1000. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close