Busana seragam simbolik perpaduan AMK

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim mengakui buat pertama kali penganjuran kongres pergerakan itu berlangsung dengan semangat perpaduan dan penyatuan.

Katanya, biarpun wujud perbezaan atau pertelingkahan, semua pimpinan seharusnya sepakat dan memahami peranan serta semangat setiakawan.

“Tadi Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) naik pentas (Kongres AMK) dan dia pandang sekeliling, ada satu perkara mungkin kita kurang sedar tetapi bagi saya itu satu pengiktirafan, dia kata adakah ini AMK kerana pertama kali baju semua sama.

“Maksudnya perkara yang saya sebut dalam kongres yang lampau itu sedikit sebanyak berjaya kita jelmakan sebagai sebuah perpaduan dan penyatuan dalam kalangan kita (pada kongres kali ini),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Adam Adli turut mengingatkan seluruh pimpinan dan anggota AMK supaya tidak menyombong diri atau bersaing antara satu sama lain.

“Perbezaan pendapat adalah perkara sihat dan kita tidak akan sekat tetapi dalam kita bergerak dan menjalankan tanggungjawab, kita harus sepakat, itu sahaja saya minta,” katanya.

Sementara itu, timbalannya, Muhammad Kamil Abd Munim, mengingatkan seluruh anggota AMK supaya tidak bercakap soal picisan, merekayasa dan menghambur fitnah.

Jelasnya, sebagai seorang pemimpin muda, adalah lebih baik memohon maaf jika terlanjur kata sehingga bertukar menjadi fitnah.

“Ada yang menggelar orang itu ada kaitan komunis, sepupu dengan orang yang sudah menjadi sebahagian sejarah, tanpa rasa bersalah, tanpa segan silu.

“Tak ada salahnya kita sebagai pimpinan muda, kalau kita terlanjur dalam kata-kata, ungkapan kita, mampu memohon maaf sekiranya ada keterlanjuran bahasa, bahkan itu mengangkat nilai kemuliaan insan,” katanya. – Berita Harian

Baca juga: