Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Mohd Fadzil menyifatkan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang melabuhkan tirainya pada Ahad telah menterjemah kematangan parti yang dibina hampir 25 tahun lalu.
Kongres itu jelasnya telah menjadi medan akar umbi melontarkan pandangan, cadangan dan kritikan untuk memacu PKR ke arah lebih baik.
Selain itu menurut Fahmi, kongres itu telah memaknai kejayaan Presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Kemenangan terbesar parti itu jelasnya bukan hanya terletak pada kejayaan ‘menawan’ Putrajaya dan mengetuai Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya adalah mencipta kestabilan politik dalam hanya tempoh setahun menerajui pentadbiran negara.
“Kongres berjalan dengan amat lancar… suara-suara serta pandangan daripada akar umbi, mengingatkan kita berada di Putrajaya (sebagai Kerajaan Persekutuan) bukan kemenangan untuk harta (membolot kekayaan).
“Sebaliknya ia satu amanah daripada rakyat yang mengharapkan perubahan besar dan baik untuk mereka. Tahun pertama telah selesai (sejak menjadi kerajaan), kestabilan (politik) telah kita capai dan itulah kemenangan kita yang tidak disebut… inilah kerajaan paling stabil,” katanya yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) ketika dalam sidang media selepas kongres berakhir.
Kongres kali ke-17 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula Sabtu itu dihadiri 1,485 perwakilan seluruh negara serta 1,770 pemerhati berdaftar.
Ia adalah yang pertama selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022.
Memeriahkan acara, kongres tersebut turut dihadiri pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selain 46 perwakilan kedutaan asing.
Fahmi sementara itu memberi jaminan segala teguran dilontarkan daripada peringkat akar umbi hingga pucuk pimpinan akan diteliti dalam semua aspek supaya parti itu tidak tersasar daripada landasan perjuangannya.
Baca lagi: