Beri pendedahan kepada golongan belia antara salah satu cara yang boleh dilakukan bagi menggalakkan mereka untuk mengenakan busana batik.
Menurut pereka fesyen tempatan, Noelle Kan, mendidik dan memperkenalkan batik kepada kumpulan tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan perasaan sayang kepada seni warisan terbabit.
“Perkara itu perlu dilakukan secara semula jadi bagi membolehkan mereka mengenali tentang batik.
“Apabila hubungan itu sudah ada, maka mudah buat kita untuk mewariskan tradisi yang penuh sejarah itu kepada generasi baharu sekali gus menjadikanna sebagai pilihan busana harian,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Noelle Kan memberi reaksi tersebut sempena sambutan Hari Batik Malaysia yang diraikan pada 3 Disember.
Mengulas lanjut, sebagai pereka, Noelle Kan menjadikan motif batik bunga sebagai tanda pengenalan jenamanya, Kanoe.
Jelasnya, keindahan warisan Malaysia itu menjadi cerminan identiti dan jati diri rakyat tempatan.
“Sebagai pereka, saya percaya dengan mengetengahkan identiti tempatan bukan sahaja membuatkan saya lebih mendalami budaya sendiri, tetapi turut dapat memperkenalkannya di mata dunia.
“Secara peribadi, saya sangat menyukai corak batik dan cuba untuk memberikan sentuhan moden agar selari dengan cita rasa semasa,” katanya.
Untuk rekod, sambutan Hari Batik Malaysia yang ditetapkan pada 2021 itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekalkan dan memperkasa industri batik tempatan seiring dengan menyemarakkan pemakaian batik Malaysia.