“Saya tidak izin orang hina, hukum orang bukan Islam…” – PM minta pelajar IPT elak ‘budaya’ perkauman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan terhadap sikap obses dalam fahaman politik yang melampau mungkin akan mempengaruhi ideologi pelajar di pusat pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, fahaman politik berunsurkan perkauman yang dibawa oleh golongan tertentu yang konon mengatakan orang Melayu sudah ‘habis’ dan Pulau Pinang, kononnya sudah ‘dikristiankan’ di bawah pemerintahannya.

Jelasnya, golongan itu membawa masuk fahaman sedemikian melalui kebebasan akademik yang dibenarkan di pusat-pusat pengajian tinggi sehingga mempengaruhi pelajar.

“Hal-hal begini kita harus kawal, kalau dia nak tanya secara baik tak mengapa, tapi kalau ikut perangai beberapa orang politik yang terdesak maka  kita rugi.

“Kalau perkara itu benar okey tapi umpamanya mereka kata sejak anwar jadi Perdana Menteri,  Islam hanyut, hilang sedangkan program Islam kita lebih mantap, peruntukan untuk Islam lebih tinggi.

“Jadi, kena jaga supaya jangan jadi walaun, tak boleh fikir langsung sehingga apa yang disebut dianggap sebagai hukum,” katanya.

Memetik Utusan, beliau turut meminta pihak universiti mengawal fahaman politik sedemikian kerana ketaksuban seumpama itu boleh memecah belahkan rakyat.

Katanya, begitu pun kerajaan tidak menghalang jika ada pihak yang masuk ke universiti dan memberikan pandangan yang terbuka.

Malah, kata Anwar, beliau sama sekali tidak menghalang kritikan terhadap kerajaan.

“Mereka kata kalau Anwar boleh masuk ke universiti, mereka pun nak masuk. Kalau dia bagi pandangan yang terbuka, saya tak jadi masalah. Tapi kalau dia bawa kebencian kepada kaum Cina, Dayak dan Kristian semuanya jadi musuh kita, tak boleh, saya tak izinkan.

“Saya tidak izinkan orang menghina, menghukum dan cuba menidakkan orang bukan Islam,  inilah prinsipnya dan saya tak akan berkompromi. Mengkritik kerajan tak apa, tapi kalau dia langgar dasar,  ini tak boleh.

“Kepada pelajar, gunakan creative mind, kerana dia pakai serban dan dia cakap betul, kita boleh terima tapi kalau dia bohong, walaupun dia pakai jubah, tak boleh terima jika cakap tak betul,” katanya.

Anwar memberi reaksi berkenaan ketika hadir dalam Program Dialog Mahasiswa Temui Anwar Sempena Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada Khamis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat