Ejen insurans berputih mata rugi lebih RM300,000 diperdaya sindiket pelaburan tak wujud

Seorang ejen insurans kerugian RM333,600 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 46 tahun itu yang tinggal di Taman Pari, Ipoh pada Selasa.

“Siasatan mendapati pada 15 Oktober lepas, semasa berada di sebuah medan selera di Taman Canning pengadu (mangsa) berkenalan dengan seorang wanita bernama Eva yang berperanan sebagai pentadbir satu kumpulan WhatsApp, melalui pautan di Facebook.

“Melalui medium media sosial itu, suspek (wanita) telah memperdaya pengadu untuk membuat pelaburan menggunakan aplikasi ‘Bain Online’ yang tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dalam tempoh antara 19 Oktober dan 12 Disember lepas, mangsa telah melakukan 12 transaksi ke dalam lima akaun berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM333,600.

Menurut Mohd Yusri mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya membuat bayaran komisen sebanyak RM57,400 terlebih dahulu sebelum wang keuntungan daripada pelaburan itu diserahkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis ingin memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan menerusi media sosial,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat