Demi peminat, Anuar Zain pilih tempat dekat dengan hospital 

Penyanyi yang terkenal dengan suara lunak, Anuar Zain memilih lokasi berhampiran dengan hospital sebagai venue konsert atau tempat untuk mengadakan persembahan. 

Kata Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain, 53, beliau bimbang sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau masalah kesihatan yang berlaku kepada peminat atau kru terlibat gagal mendapat rawatan sewajarnya.

Tegasnya, meskipun hal tersebut dilihat remeh, namun beliau tetap memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan nyawa seseorang. 

“Segelintir orang mungkin ambil mudah perkara ini, dan boleh jadi juga terlepas pandang. 

“Tetapi, saya memang mengutamakan tempat yang berhampiran dengan hospital kerana jika berlaku sebarang perkara tidak diinginkan seperti cedera, bagaimana pula mereka ingin mendapatkan rawatan yang wajar,” katanya yang ditemui Malaysia Bangkit ketika sesi media bersama Anuar Zain pada Rabu. 

Mengulas lanjut, sebelum ini ada yang mencadangkan beliau mengadakan persembaham di sebuah pusat peranginan popular, namun disebabkan hal itu beliau terpaksa menolak. 

“Pernah ada yang mencadang agar mengadakan persembahan di satu tempat ini, namun disebabkan tempat tersebut jauh dari hospital, saya fikir pilih saja lokasi lain,” katanya. 

Pada masa sama, penyanyi lagu Sedetik Lebih itu turut berkongsi tentang persembahan yang akan diadakan pada 17 Februari depan di Jiospace, Petaling Jaya, Selangor. 

Persembahan itu akan menjadi momen terindah buat beliau dan peminat sekali gus meraikan penglibatannya selama 40 tahun dalam industri. 

Acara yang diberi nama Anuar Zain 40 Exclusive Up Close and Personal itu dijangka akan berlangsung selama lebih 1 jam di hadapan 1,000 penonton.

“Pada hari itu akan ada persembahan dan sesi ramah mesra (meet & greet) dengan peminat. Mereka juga boleh bertanyakan apa saja kepada saya nanti,” jelasnya. 

Tiket acara anjuran JioBuddy dan Anuar Zain Network itu boleh didapati di www.jiotix.asia/ bermula pada harga RM688 (VIP 1), RM588 (VIP 2) dan RM388 (Diamond). 

Baca juga:,

Anda Mungkin Berminat