Mayat lelaki dengan kesan cedera ditemui di Bentong

Seorang lelaki warganegara Myanmar ditemui maut dengan kesan kecederaan pada anggota badan di dalam kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 29 tahun pada pukul 5 pagi.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang merupakan rakan senegara mangsa iaitu seorang berusia 26 tahun di kawasan kebun durian terbabit manakala seorang lagi berusia 31 tahun ditangkap semasa cuba melarikan diri di lokasi berhampiran, bagi membantu siasatan.

“Mereka juga bekerja di kebun durian dan pemeriksaan mendapati seorang daripada lelaki ditahan mempunyai beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat pergelutan.

“Polis turut merampas sebilah parang dan pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong Asisten Superintendan Faizal Abdullah menerusi talian 012-4834439 bagi membantu siasatan.

Baca juga: